PENGENALAN.
Sejarah, menurut Kamus Dewan memberikankan maknanya sebagai sastera lama , asal usul (keturunan ),salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku di waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, dan Tawarikh. Bagaimanapun sejarawan pula memberikan pengertian yang berbeza-beza mengikut fahaman dan aliran masing-masing. Oleh kerana persoalan ini harus dijawab, maka kita lihat sejarah dalam pelbagai pengertian umum dan pendapat para sejarawan.
PENGERTIAN SEJARAH.
Pengertian Yang Umum.
Kepelbagaian pengertian atau takrif itu melambangkan keluasan sejarah itu. Bagaimana pun keadaan itu kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan. Bagi mengelakkan kekeliruan itu, wajarlah dicari satu titik pertemuan atau pengertian umum yang merupakan takrif atau pengertian asas bagi sejarah. Pengertian atau takrif secara umum yang pertama ialah bahawa " sejarah itu adalah masa lalu". Pengertian ini nyata benarlah keluasannya, kerana ia mencakupi keseluruhan masa lalu tanpa batasannya. Sejarah sebagai masa lalu dimaksudkan mengandungi semua kejadian serta peristiwa dan pengalaman yang telah berlaku dan berlalu sam ada kejadian itu merupakan sekumpulan kejadian ataupun kejadian yang berasingan, bukanlah suatu yang dipertikaikan. Pada dasarnya ia berupa semua pengalaman,tingkahlaku, kejadian serta peristiwa dalam kehidupan seseorang individu pemimpin, sebuah institusi pertubuhan, negara mahupun masyarakat. Semua kejadian itu bererti kejadian yang penting,
Yang patut dan perlu diingat,ataupun yang bersejarah, dan juga yang sebaliknya ,
Yakni yang tidak penting dan remeh. Ertinya apa sahaja yang telah berlaku itu adalah sebahagian daripada masa lalu dan dari itu sebahagian daripada sejarah.
( Prof. Mohd. Yusof Ibrahim,2000,Pengantar Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur,Pusat Pengajian Jarak Jauh UKM, Hlm 10. )
Pengertian Sejarah oleh Para Sejarawan.
- Dionysios, dari Halicarssus, sejarawan Yunani abad pertama tahun masihi mengatakan bahawa " sejarah adalah satu bentuk falsafah yang memberikan pengajaran melalui contohnya"
- Masudi, sejarawan Islam kurun ke-10 pula mengatakan bahawa sejarah adalah "catatan yang didalamnya terhimpun tentang keseluruhan ilmu pengetahuan manusia dan merupakan sains yang paling mulia"
- Chang Hsueh-Cheng,sejarawan Cina kurun ke-18 masihi antara lain menyebut bahawa sejarah bukan hanya merupakan usaha mengumpulkan dokumen oleh ahli-ahli birokrasi, tidak juga merupakan satu hiburan bagi para sarjana, ia harus ditujukan bagi memperbaiki dunia.
- Benedetto Croce (1866 - 1952) antaranya mengatakan bahawa " sejarah adalah kisah tentang kebebasan dan semua sejarah adalah sejarah semasa".
- J.B. Bury (1861-1927) " sejarah adalah sains,tidak kurang tidak lebih"
- R.G. Collingwood (1889-1943)," semua sejarah adalah sejarah pemikiran".
- E.H. Carr antara sejarawan ternama pertengahan abad ke-20 mesihi mengatakan, " sejarah adalah proses interaksi berterusan diantara ahli sejarah dengan fakta-faktanya, satu dialog yang tidak berkesudahan diantara masa kini dengan masa lampau".
- G.M. Trevelyn yang mentakrifkan sejarah sosial sebagai " sejarah yang mengetepikan politik".
- Sharom Hussein mengatakan, " daripada pelajaran tawarikh(sejarah) juga kita tidak dapat menyingkap semula lembaran sejarah dari hal kebangkitan/kemajuan. Kejatuhan dan kemunduran sesuatu bangsa".
- Zainal Abidin Abdul Wahid " ……..sejarah membolehkan kita memeriksa mengambil pengertian dan menimbangkan satu-satu perkara itu dengan lebih saksama dan sempurna…… sejarah juga boleh jadi petunjuk dan pemandu kita".
Pengertian Sejarah menurut Ibnu Khaldun.
Ibnu Khaldun (1332-1406), menyatakan bahawa sejarah itu merupakan, "…catatan tentang masyarakat manusia,atau peradaban dunia,tentang perubahan-perubahan yang telah berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu,seperti kebiadaban,keramahan dan perasaan setia kawan segolongan;tentang revolusi dan pemberontakan sesuatu golongan manusia terhadap manusia lainnya yang mengakibatkan terbentuknya kerajaan dan negara.Bersama-sama rakyat jelatanya yang mempunyai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan pertukangan;dan,pada umumnya,tentang semua perubahan bentuk yang dijalani oleh masyarakat itu menurut sifatnya.
( Mohd. Yusop Ibrahim,2000,ILMU SEJARAH Falsafah,Pengertian, dan Kaedah.Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 12. )